Sunday 21 July 2013

Pemain bola sepak perlu bijak merancang kerjaya, bina karakter, imej

KEKUATAN mental dan fizikal setiap pemain bola sepak Liga Malaysia sekali lagi akan diuji.
Persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia terus dilakukan setiap pasukan sepanjang Ramadan sebelum wisel saingan Piala Malaysia ditiup dua minggu selepas menyambut Syawal. 

Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, ini akan memberi sedikit tekanan kepada pemain ketika latihan dan menguji kebijaksanaan jurulatih menyusun program latihan ketika semua pemain-pemain beragama Islam menjalani ibadah puasa.

Tidak terkecuali, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal memanggil pemain terpilih untuk menghadapi beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab ternama dunia seperti Chelsea dan Barcelona di samping mempersiapkan pasukan untuk mencari ramuan taktikal dan strategik serta persefahaman pemain sebelum pusingan kedua kelayakan Piala Asia 2015 diteruskan.

Namun, lebih menarik untuk saya ketengahkan ialah perbezaan 'karakter' dua jurulatih iaitu Rajagobal dan Jose Mourinho. Ini boleh dinilai ketika kedua-dua jurulatih melakukan sidang media beberapa hari sebelum pertemuan kedua-dua pasukan semalam. Sudah tentu dengan kembalinya Jose Mourinho kepangkuan Chelsea akan memberi erti kepada pemain dan peminat-peminat Chelsea di seluruh dunia. 

Kelihatan 'X faktor' dalam diri Mourinho begitu terserlah, setiap gerak-gerinya akan mendapat perhatian dan setiap perkataan daripada mulutnya juga dinanti-nantikan. Jawapan yang diberikan begitu yakin, termasuklah pandangan diberikan beliau tentang seseorang pemain itu perlu menunjukkan aksi yang konsisten dan kerap bermain dalam kelab layak bermain untuk pasukan kebangsaan mereka.

Begitu juga dengan sikap ketegasannya dalam ketepatan waktu, apabila meninggalkan sidang media baik sahaja masa yang diberikan tamat walaupun pada ketika itu beberapa jurugambar sedang sibuk menjalankan tugas. Inilah karakter yang akan memberi kesan mendalam kepada pemain-pemain apabila seseorang jurulatih itu mempunyai nilai integriti begitu tinggi.

Peluang begini perlulah diambil kesempatan oleh setiap jurulatih, pemain serta pegawai pasukan untuk dipelajari serta membuat kajian daripada seseorang yang berjaya dalam merealisasikan impian dan kerjayanya dalam urus tadbir diri.

Selain itu juga, kita boleh menjadikan satu contoh atas kejayaan seorang pemuda Vietnam, Vu Xuan Tien lebih dikenali dengan 'The Running Man' ketika berlari mengejar bas pasukan kegemaran beliau iaitu Arsenal sejauh 5 kilometer hanya untuk mendapatkan tandatangan pemain Arsenal ketika baru sahaja menjejakkan kaki di Vietnam dalam jelajah Asia yang mendapat liputan meluas media antarabangsa setelah video dimuat turun di youtube oleh penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny.

Pepatah Melayu ada menyatakan 'Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan'. Begitulah mesej yang dapat kita pelajari daripada pemuda Vietnam ini, tidak ada kejayaan datang dengan mudah sekiranya kita tidak berusaha. 

Namun, lebih menarik tentang kejadian ini, terselindung satu nilai 'pemasaran' daripada Xuan Tien.
Setiap perancangan dan strategi dalam melakukan pemasaran amat penting. Ini perlu dipelajari setiap pemain-pemain bola sepak di negara kita, bagaimana cara menarik perhatian peminat, penaja dan kelab selain daripada persembahan yang konsisten, berkualiti serta bermutu. 

Mereka perlu bijak membina karakter dan imej dalam diri sendiri baik di dalam serta luar padang.
Ini akan mencerminkan seseorang pemain itu bijak merancang kerjayanya serta dipandang hormat.
Dalam era bola sepak profesional pemain perlu mengambil kesempatan di atas sambutan kemeriahan daripada peminat dan pihak media untuk menarik penaja bagi menambah pendapatan menjamin masa depan.

Monday 8 July 2013

Pemain perlu jujur pada diri sendiri


Assalamualaikum.

Tirai Liga Super dan FA sudah dilabuhkan, malah segala teka teki sudah terjawab.
Sebelum ini terdapat pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat tentang pasukan manakah akan menjadi juara Liga Super dan Piala FA. Ada mengatakan pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT), Selangor, ATM dan Pahang akan menjuarai Liga Super memandangkan Kelantan tidak berada pada prestasi membanggakan.

Namun, semua jangkaan peminat meleset kerana pada akhirnya Lions XII menjulang kejuaraan Liga Super edisi 2013. V. Sundramoorthy bijak mengatur strategi dalam merancang kejayaan pasukannya dengan mengambil kesempatan atas persembahan kurang konsisten pasukan dari tanah air.
Sementara itu, pemain-pemain Lions XII juga amat berdisiplin dan mempamer aksi meyakinkan dalam setiap perlawanan.

Mereka melaksanakan semua perancangan yang diatur Sundramoorthy dengan penuh dedikasi, jujur serta bersama semangat berpasukan yang jitu. Ini satu tamparan kepada persatuan negeri untuk bangkit dan melakukan perancangan lebih teliti. 

Sebelum Lions XII dinobatkan sebagai juara Liga Super 2013, kemuncak bola sepak negara sebenarnya tertumpu kepada perlawanan akhir Piala FA Kelantan dan Johor DT. Pelbagai provokasi dimainkan di alam maya yang dilakukan oleh penyokong kedua-dua pasukan, sehingga ada menyatakan pergaduhan bakal berlaku, namun realiti sebenar tidak terjadi.

Pujian perlu diberikan kepada penyokong Kelantan dan Johor DT yang membawa satu atmosfera baharu dalam memartabatkan bola sepak negara. Sikap 'profesional' mereka memberi satu gambaran bahawa bola sepak kita berada di landasan betul tetapi persatuan negeri atau kelab perlu mengambil inisiatif bagaimana untuk memastikan atmosfera begini terus kekal.

Dalam dunia bola sepak moden , sokongan daripada penyokong sesebuah pasukan itu sebenarnya menunjukkan persatuan atau kelab bijak menguruskan perniagaan.
Di sini persatuan perlu bijak merancang aktiviti persatuan dan pemain bersama peminat untuk menarik penajaan daripada syarikat-syarikat korporat.

Penjenamaan dan pemasaran perlu kreatif dengan idea-idea baharu kerana ini dapat mengekalkan atmosfera sedia ada, selain itu ia juga dapat menjana pendapatan kepada persatuan atau kelab.                      © Utusan Melayu (M) Bhd